Si Pengemis Iman
Aku berjalan menuju ke sebuah
tasik yang terletak berhadapan dengan rumahku. Bayu petang malu-malu menyapa wajahku. Terasa nikmat
yang ALLAH berikan begitu berharga.
Aku meneruskan langkahku menuju ke sebuah
pondok kayu yang memang disediakan khas untuk para pengunjung lalu melabuhkan
punggung di situ. Mataku liar memerhati kawasan sekelilingku. Pelbagai gelagat
manusia yang dapat ku lihat. Aku memang gemar memerhati gelagat-gelagat insan
di sekelilingku sebagai bahan dan idea untuk membuat cerpen dan novel.
Kelihatan beberapa orang gadis seumurku turut bersiar-siar di tasik tersebut
sambil bergelak ketawa. Kelihatan juga pasangan-pasangan muda asyik berpegangan
tangan dan bermesra. Entahkan sudah halal entahkan tidak.
Aku menghembuskan nafas perlahan.
Komputer riba yang aku bawa bersama ku pandang sepi. Niatku untuk menyambung
penulisan novelku. Paling kurang aku ingin menulis sebuah artikel untuk
dimuatkan ke dalam blogku. Tapi entah kenapa aku seakan-akan kehilangan idea.
Kehilangan semangat. Sudah berbulan blogku dibiar sepi lantaran aku sibuk
dengan imtihan. Beberapa orang pembaca setia sudah mula bertanya kerana aku
terus menyepi tanpa khabar. Novelku juga sudah sekian lama tergendala. Aku
seakan-akan kehilangan semangat untuk menulis. Entahlah.
" Assalamu'alaikum
Iman..", Pantas aku menoleh mendengar suara wanita yang menegurku.
" Wa'alaikumussalam, eh..Kak
Mai! Buat apa kat sini?" Aku bangun menghampiri Kak Humairah, seniorku di
universiti. Aku menyalaminya dan kami berpelukan seketika. Terasa hangatnya
ukhuwah setelah sekian lama tidak bertemu muka.
" Akak buat apa kat
sini??"
" Amboi..macam tak suka je
akak datang sini?? Bukannya nak tanya khabar ke apa ke."Aku tersengih
mendengar kata-kata Kak Humairah.
" Tak ada la..bukan tak
suka. Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba je muncul. Terkejutla.Tu yang tak
sempat tanya khabar tu. Hihi..akak sihat?" Satu cubitan halus singgah di
pipiku. Aku mengaduh perlahan.
" Alhamdulillah, akak sihat
je. Tadi akak pergi rumah Iman. Kawan-kawan Iman kata, Iman keluar jalan-jalan
kat tasik. Tu yang akak datang sini. Dari jauh akak nampak Iman termenung
sorang-sorang. Macam ada masalah je?"
" Tak adalah, kak. Iman ok
je. Ni akak datang sini ni mesti ada apa-apa ni. Takkan datang saja-saja, kan? Nak
hantar kad jemputan ke? Hihi.."
" Ha'ah, memang akak nak
hantar kad jemputan pun."
" Serius, kak??
Wah..tahniah! Siapa jejaka bertuah yang dapat Kak Mai yang cantik, jelita lagi
solehah ni??"
" Pandailah Iman tu nak
membodek akak. Rahsialah siapa jejaka tu. Iman kena datang tengok sendiri. Ni
kadnya. Datang tau. Tak datang, siaplah!"
" InsyaALLAH, kak.."
Aku menatap kad jemputan berwarna
biru itu. Ringkas sahaja tetapi cantik. Aku tersenyum menatap wajah Kak
Humairah. Ada sinar bahagia di wajahnya. Aku tumpang gembira untuknya.
" Akak tengok Iman macam ada
masalah je? Ceritalah kat akak. Mana tahu akak boleh tolong."
Aku tunduk memandang kakiku.
Serba-salah aku dibuatnya apabila Kak Humairah memndang tepat ke anak mataku.
Seakan-akan sedang cuba membaca isi hatiku. Sejujurnya, aku sendiri tidak tahu
apa masalahku. Tetapi kebelakangan ini aku seakan-akan hilang roh dalam
berdakwah. Hilang semangat dalam berjuang.
" Hm..entahlah kak. Iman pun
tak tahu apa masalahnya. Kebelakangan ni, Iman rasa macam malas sangat. Semua
benda malas nak buat. Blog Iman tu akak nak tau, dah berbulan-bulan Iman tak
update."
" Lah..kenapa macam tu?
Setahu akak, dulu Iman cakap Iman nak gunakan blog tu untuk berdakwah dengan
cara Iman sendiri. Dengan tulis artikel, cerpen, novel. Kenapa dah tak
update?"
" Busylah, kak.."
" Busy sangat ke sampai
lalai dengan tanggungjawab Iman sebagai khalifah ALLAH?"
Aku mendiamkan diri. Aku tahu.
Kak Humairah marah dan kecewa denganku. Salah aku sendiri yang tidak bijak
menguruskan masa.
" Iman, Iman tahu kan
tanggungjawab kita semua dalam berdakwah?"
" Tahu, kak."
" Jadi, Iman tak boleh bagi
alasan busy dan sibuk dengan belajar, exam sebagai penyebab untuk Iman lupakan
tanggungjawab Iman tu. ALLAH dah bagi kita semua 24 jam. 24 jam tu banyak, dik.
Cuma kita yang tak tahu nak membahagi dan menghargai."
" Memang salah Iman. Iman
tahu, kak. Maafkan, Iman."
" Bukan pada akak yang Iman patut
mintak maaf tapi pada ALLAH."
" Akak..nasihatkanlah Iman.
Iman rasa macam tak ada semangat sangat sekarang ni. Terangkanlah pada Iman
tentang dakwah, kak. InsyaALLAH hati Iman akan kuat semula nanti."
" Dakwah seperti yang Iman
tahu adalah tugas suci dan tanggungjawab yang ALLAH amanahkan pada kita semua
sebagai khlaifah ALLAH di atas muka bumi ni. Tugas kita adalah untuk
menyampaikan dan menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran kepada
masyarakat. Ada macam-macam kaedah dakwah yang boleh kita gunakan dan yang Iman
pernah bagitahu akak dulu adalah melalui blog. Bagi akak, cara tu sangat bagus
sebab sekarang zaman IT dan zaman teknologi di mana kebanyakan orang
menghabiskan bayak masa dengan internet. Itu adalah satu peluang untuk kita
menyebarkan dakwah."
Aku mengangguk perlahan.
"Dalam Surah Ali Imran ayat
104,
dan hendaklah di antara kamu satu
puak yang menyeru(berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh berbuat perkara yang
baik serta melarang daripada segala yang salah dan mereka yang bersifat
demikian adalah orang-orang yang berjaya
Cuba Iman tengok di sekeliling
Iman. Maksiat merata-rata, dik. Kalau bukan kita yang menegur mereka, siapa
lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan di sini, di mana lagi?"
"Dalam situasi masyarakat
masa kini yang mengharungi pelbagai cabaran dan dalam era globalisasi, dakwah
perlu digerakkan sebagai membimbing manusia ke jalan yang betul. Oleh yang
demikian, setiap individu Muslim perlu berganding bahu untuk sama-sama
melaksanakan usaha dakwah, menyampaikan ajaran Islam serta memberi kesedaran
mengenai ketinggian Islam bagi mewujudkan masyarakat Muslim yang terbaik.
Untuk itu, setiap Muslim perlu
sedar dan perlu membabitkan diri dalam dakwah, sesuai dengan potensi atau
keupayaan diri masing-masing. Terbinanya diri, keluarga dan masyarakat yang
Islamik merupakan matlamat utama dalam dakwah.
Matlamat dan harapan ini tidak
dapat dicapai sekadar menerusi ceramah dan khutbah tetapi melalui pelbagai
bidang serta potensi yang ada. Oleh itu, perlu kita sedar bahawa segala potensi
dan kemampuan yang kita ada atau miliki, perlu digunakan untuk kepentingan
Islam dan dakwah Islamiah.
Sampaikanlah walau satu ayat.
Menunjukkan bahawa kewajipan berdakwah itu bukan pada ustaz atau ustazah
atau ulama sahaja tetapi pada semua umat Islam. Dan kita sebagai insan-insan
yang lebih terpilih, yang dah belajar agama sejak kecil, masuk sekolah agama
dan ambil jurusan agama di universiti, tanggungjawab kita lebih besar lagi
untuk menyampaikan pemahaman tentang Islam kepada masyarakat. Iman sendiri,
berada dalam bidang perakaunan di mana bidang ni melibatkan pengurusan wang
yang betul dan juga memerlukan kejujuran dalam melaksanakan tugas. Iman boleh
berdakwah sebagai akauntan. Jangan sempitkan pemikiran bahawa dakwah itu hanya
untuk mereka yang belajar agama. Salah persepsi tu."
" Betul tu, kak. Dulu Iman
selalu fikir yang accounting ni tak penting sebab Iman pelajar sekolah agama.
Iman nak ambil bidang agama. Tapi bila dah belajar, baru Iman sedar yang
accounting tu pun ada dalam Islam bahkan sekarang dah ada unsur-unsur Islam
dalam pembelajaran akaun. Bank-bank pun dah mula amalkan prinsip-prinsip Islam
dalam pengurusan. Bila Iman tengok, ramai orang-orang bukan Islam je yang memonopoli
bidang ni, Iman makin semangat nak belajar akaun. Iman nak betulkan semua
prinsip-prinsip akaun konvensional yang salah tu nanti."
" Hah..bagus adik akak.
Macam tu lah baru betul. Lagi satu, Iman ada bakat dalam penulisan. Gunakan
bakat yang ALLAH bagi tu untuk salurkan dakwah melalui penulisan. Macam Kak
Fatimah Syarha yang Iman minat sangat tu."
" Iman memang minat menulis.
Kalau boleh satu hari nanti Iman nak terbitkan novel Iman sendiri."
" InsyaALLAH, dik. Usaha
yang baik tu takkan disia-siakan oleh ALLAH."
" Tapi kan, kak. Iman selalu
dengar orang cakap, dakwah melalui blog ni dakwah picisan. Dakwah yang tak
berkualiti. Dakwah yang tak mampu mengubah orang."
" Siapa kata? Iman sendiri,
bila membaca karya-karya motivasi, adakah Iman termotivasi untuk berubah
menjadi lebih baik?"
Aku mengangguk.
" Haa..sama juga dengan
blog. Mungkin tak semua tapi akak yakin ada yang termotivasi untuk berubah
lebih baik bila membaca penulisan Iman. Akak sendiri termotivasi bila baca
cerpen Iman dulu tau."
Aku sekadar tersenyum mengingat
kembali kali pertama aku menulis cerpen.
" Biasalah tu, dik. Kita nak
buat benda baik ni, memang akan adalah yang akan cuba nak melemahkan semangat
kita, menjatuhkan kita. Syurga tu manis, sebab tulah perjuangan tu pahit. Kalau
dua-dua manis, kencing manislah jawabnya!"
" Hihi..akak ni."
" Nabi Muhammad sendiri
menghadapi cabaran yang tidak sedikit apabila dia menyampaikan dakwah. Dalam
surah al-Hijr ayat 6,
Dan mereka yang ingkar berkata
(kepada Nabi Muhammad): “Wahai orang yang kepadanya. diturunkan Al-Qur’an,
sesungguhnya engkau adalah orang gila”.
Nabi kita dituduh dengan
bermacam-macam tohmahan. Tapi dia terus sabar, tabah dan terus menyampaikan
dakwah Islam. Kalaulah masa tu nabi berputus asa, Iman rasa kita boleh kenal
Islam macam sekarang ni?"
" Cabaran yang Iman kena
hadapi ni tak seberapa berbanding dengan apa yang nabi pernah hadapi dulu.
Hmm..lemahnya Iman. Baru sikit kene kutuk dah mula rasa putus asa. Baru busy
sikit dengan tugas-tugas sebagai pelajar, dah mula alpa."
" Jangan cepat putus asa,
dik. Kuatkan semangat, kukuhkan iman, maju ke hadapan! Ingat firman ALLAH dalam
surah Ali Imran ayat 110
Kamu(umat Muhammad, adalah
sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, kamu meyuruh
berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang
salah serta kamu pula beriman kepada ALLAH.
Dan dalam ayat 195 ALLAH
menceritakan ganjaran bagi mereka yang beriman dan berusaha dalam menyampaikan
dakwah
Maka Tuhan mereka perkenankan doa
mereka (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal
orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan,
(kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka
orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir
keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan)
kerana menjalankan agamaKu dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan
yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil), sesungguhnya Aku akan hapuskan
kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam
Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi
Allah dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang
beramal soleh)."
"Sayangnya ALLAH pada kita
kan, kak? Emm..terima kasih, kak sebab dah bagi banyak nasihat pada Iman.
InsyaALLAH Iman akan sentiasa cuba perbaiki diri Iman lepas ni. Akak doakan
Iman, ye?"
" InsyaALLAH, dik. Akak tak
pernah lupa doakan Iman. Hmm..dah petang sangat ni, akak kena balik dulu.
Jangan lupa datang tau minggu depan. Ajaklah kawan-kawan rumah nanti."
" InsyaALLAH, kak.
Hihi..nanti cari-carikanlah untuk saya sekali. Mana tahu habis belajar ni boleh
terus kahwin. Haha.."
" Amboi, gatal. Oklah, akak
gerak dululah, ye? Jaga diri baik-baik tau. Rajin-rajinlah call akak
nanti."
"Mana boleh kacau akak dah
lepas ni. Nanti cik abang marah."
" Ada-ada je kamu ni,
Iman."
Aku mencium tangan Kak Humairah.
Lama kami berpelukan seakan-akan tidak sanggup berpisah. Sesungguhnya sahabat
yang baik itu adalah permata yang sangat berharga. Aku tidak akan sanggup
kehilangannya.
" Akak balik dulu ye,
assalammu'alaikum."
" Wa'alaikumussalam."
Aku melambaikan tangan sambil
memerhati kelibat Kak Humairah yang semakin menjauh. Sayu dan sebak menikam
hati. Terlalu banyak yang aku pelajari dari insan bernama Humairah itu. Aku
semakin bersemangat setelah mendapat makanan rohani sebentar tadi. Aku berazam
untuk terus berjuang dan berdakwah melalui blog. Pedulikan mereka yang
mencerca. ALLAH tahu itu salah satu usahaku untuk menegakkan Islam.
Aku membuka komputer riba yang
sedari tadi dibiar sepi. Microsoft Word menjadi sasaran dan tanganku mula
pantas menaip sebuah cerpen bertajuk 'Kerana Dakwah'.
Komentar
Posting Komentar